Friday, March 19, 2010

Monday, March 15, 2010

guru....kau ibarat lilin

Dunia ini ibarat roda. Kita tidak akan pernah tahu bila kita akan berada di bawah atau di atas tapi satu perkara yang perlu ditanam dalam diri, sekali kita berada di atas janganlah terus berhenti memandang ke bawah kerana sesungguhnya dunia ini tidak akan kekal dan hanyalah tipuan semata-mata. Bagi hamba Allah SWT yang beriman, dunia adalah sebagai ladang amal mencari bekalan secukupnya sebelum pulang menghadap Yang Maha Pencipta. Menurut Allah, dunia lebih tidak berharga dari sayap seekor nyamuk, inilah hakikat nilainya dan timbangannya di sisi Allah. Jadi mengapa kita perlu bersedih dan gelisah kerananya? Dalam sebuah hadith shahih disebutkan :

“Seandainya nilai dunia ini di sisi Allah sama nilainya dengan sayap seekor nyamuk, nescaya Allah tidak akan memberi minum kepada orang kafir walau seteguk air pun

Prinsip hidup muda hanya sekali, mati juga hanya sekali merupakan pegangan kepada Cikgu Murni sejak dulu lagi. Beliau sering mengingatkan diri supaya tidak mensia-siakan waktu muda kerana waktu muda merupakan waktu emas yang seharusnya diisi dengan mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah SWT. Oleh sebab itu beliau sentiasa berhati-hati dan ikhlas dalam melaksanakan setiap pekerjaan kerana yakin Allah sentiasa mengawasi hamba-hambaNya. Cikgu Murni yang dimaksudkan ialah seorang guru mata pelajaran Sains di salah sebuah sekolah menengah yang terletak di Kuala Lumpur. Sinonim dengan jolokan ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur merupakan sebuah bandar yang sentiasa dihujani dengan kemodenan semasa sebagai memenuhi tuntutan zaman globalisasi. Malang sekali, kita hanya mengejar kemajuan material tanpa mengambil kira pembangunan spiritual yang semakin menipis dari hari ke hari. Pelbagai cabaran dan tipu daya yang perlu dihadapi bagi terus bertahan hidup di ibu kota ini.

Ketika Cikgu Murni ditawarkan memberi khidmat di salah sebuah sekolah di bandar tersebut, beliau pada mulanya agak berat hati untuk menerimanya kerana majoriti masalah disiplin sekolah yang terpampang di media cetak dan media elektronik melibatkan pelajar di ibu kota. Mereka bagaikan sudah mengetepikan adab dan budaya yang melambangkan peradaban tamadun melayu. Senario ini amat berbeza dengan latar belakang Cikgu Murni yang berasal dari kampung dan telah dibesarkan dengan ketinggian adab-adab ketimuran. Sehubungan dengan itu, tidak hairanlah mengapa beliau teragak-agak walaupun pada hakikatnya peluang pekerjaan seumpama ini sememangnya dinanti-nantikan oleh setiap pelajar bergraduat tidak terkecuali Cikgu Murni. Beliau meminta pandangan daripada ahli keluarganya. Ibu Cikgu Murni yang juga merupakan seorang pesara guru menasihatkan beliau membuat pilihan yang dirasakan terbaik bagi dirinya. Cikgu Murni selalu berpegang kepada pesanan ibunya bahawa dalam dunia ini kita sebagai manusia perlu ada tiga prinsip iaitu mahu, tahu, dan upaya. Ibu Cikgu Murni sedar Cikgu Murni sememangnya ingin bergelar seorang guru dan tahu akan kepentingan berkongsi ilmu yang dipinjamkan oleh Allah SWT. Namun begitu, beliau sedar sebagai seorang Islam beliau perlu memohon petunjuk dari Allah kerana Dialah Dzat Yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya. Cikgu Murni bangun pada waktu malam untuk melakukan solat sunat tahajjud dan solat sunat istikharah kerana pada waktu tersebut adalah waktu paling mustajab untuk meminta kepada Allah. Rasulullah SAW telah menyebutkan di dalam sebuah hadith shahih bahawasanya jika seorang hamba bangun malam, lalu mengingati Allah (baik dengan lisan mahupun hati), kemudian dia berwudhu’ dan solat, dia akan menjadi bersemangat dan bersih jiwanya. Sesungguhnya terlalu banyak fadhilat qiamullail. Allah SWT sendiri telah berfirman dalam surah Al-Isra’ ayat 79:

“Dan pada sebahagian malam hari bersembahyang tahajjudlah kamu sebagai ibadah tambahan bagimu”

Sebagai hamba Allah yang beriman, kita juga perlu yakin bahawa Allah pasti akan mengabulkan doa setiap hamba yang bersungguh-sungguh meminta kepadaNya. Cikgu Murni telah ikhlas menyerahkan segala urusan kepada Yang Maha Menentukan kerana beliau yakin sesuatu itu ada dan akan terjadi sesuai dengan ketentuan qadha’ dan qadar Allah. Tiada sesuatu pun yang terjadi di dalam alam ini kecuali dengan sepengetahuan Allah, izinNya dan ketentuanNya sesuai dengan firman Allah dalam surah Al-Hadid ayat 22 :

“Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis di dalam kitab (Luh Mahfudz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah”

Setelah lama berfikir, akhirnya Cikgu Murni bersetuju menerima tawaran tersebut dan hari ini adalah hari pertama beliau memulakan tanggungjawab sebagai pendidik yang menggalas tugas membentuk modal insan yang berguna untuk agama, bangsa, dan negara. Pada fizikalnya, seorang guru dikatakan dibayar gaji hanya untuk menghabiskan sukatan pelajaran yang telah disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia tetapi berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Ternyata hakikatnya tidak semudah itukerana guru merupakan pencorak masa depan remaja selepas ibu bapa mereka sendiri. Seseorang yang bergelar guru perlu mematuhi kod etika yang telah digariskan tanpa ada kepentingan material. Salah satu kandungan etika guru ialah dalam semua hubungan dan tugas, guru hendaklah menjalankannya dengan jujur. Secara keseluruhannya, etika guru menekankan supaya guru mementingkan murid mengatasi semua kepentingan lain seperti kepentingan masyarakat, persatuan dan diri sendiri. Berdepan dengan kenyataan ini, Cikgu Murni sedar beliau perlu sentiasa sabar dan ikhlas dalam menyampaikan ilmu dan menghadapi kerenah pelajar walaupun pelbagai rintangan perlu dihadapi dan hanya kepada Allah tempat kita memohon kekuatan kerana manusia adalah makhluk yang diciptakan lemah.

Cikgu Murni diberi tanggungjawab mengajar di tingkatan lima dimana kelas tersebut terdiri daripada 25 orang pelajar dan majoritinya adalah pelajar lelaki. Setelah hampir dua minggu mengajar di kelas tersebut, Cikgu Murni mula berasa tidak selesa dengan sikap seorang pelajar lelaki yang bernama Haikal. Haikal sering ponteng kelas terutamanya subjek Sains. Cikgu murni mengambil pendekatan dengan cara bersemuka dengannya dan bertanyakan masalah sebenar yang dihadapi. Malangnya Haikal langsung tidak menghargai niat baik Cikgu Murni malah dia menuduh Cikgu Murni sengaja berbuat baik dengannya semata-mata untuk mendapatkan balasan daripada statusnya sebagai seorang anak Tan Sri yang mempunyai kuasa di sekolah tersebut. Cikgu Murni cukup terkilan dengan tuduhan yang dilemparkan oleh Haikal padahal beliau langsung tidak mengharapkan apa-apa balasan. Niatnya adalah semata-mata kerana Allah dan untuk kebaikan Haikal memandangkan Haikal akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak berapa lama lagi. Walaupun begitu, Cikgu Murni tetap memaafkan perlakuan Haikal dan sentiasa akan memaafkannya kerana sesungguhnya memaafkan kesalahan orang yang menyakiti kita adalah lebih baik. Dalam surah Al-A‘raf, ayat 199 Allah SWT telah mengkhabarkan kepada kita tentang ubat dan penyembuhan dari penyakit ini :

“Jadilah kamu pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang ma’ruf, serta berpalinglah dari orang-orang yang bodoh”

Cikgu Murni juga sedar beliau perlu sabar dalam menangani pelajar bermasalah seperti Haikal. Pelajar sebegitu seharusnya diberi nasihat secara berhikmah bukannya dilayan dengan kasar. Islam sendiri menganjurkan penganutnya supaya sentiasa menanamkan sifat sabar dalam diri apabila berdepan dengan situasi yang menekan perasaan. Firman Allah SWT:

……maka kesabaran yang baik itulah kesabaranku. Dan Allah sahajalah yang dimohon pertolonganNya terhadap apa yang kamu ceritakan. (Yusuf : 18)

Hari itu Cikgu Murni berangkat awal ke sekolah kerana beliau terlibat dengan majlis pertandingan pidato peringkat sekolah. Cikgu Murni berperanan sebagai pengerusi majlis dibantu oleh seorang lagi guru senior. Ketika dalam perjalanan, Cikgu Murni ternampak beberapa orang pelajar sedang menghisap rokok dan beliau sangat terkejut apabila mendapati Haikal turut terlibat sama. Cikgu Murni mengambil tindakan dengan melaporkan kepada guru disiplin. Haikal dan rakan-rakannya dirotan di hadapan semua pelajar. Haikal betul-betul berdendam dengan Cikgu Murni sejurus selepas dia tahu akan aduan yang dibuat oleh gurunya itu. Dengan perasaan benci yang meluap-luap ditambah hasutan syaitan yang sentiasa berusaha untuk menyesatkan anak cucu Adam, Haikal telah merancang satu kemalangan untuk mencederakan Cikgu Murni. Ketika Cikgu Murni ingin pulang ke rumah, beliau ternampak sebuah motosikal yang amat laju menghala ke arahnya. Dengan izin Allah, Cikgu Murni berjaya menyelamatkan diri. Beliau mengucapkan syukur kepada Allah kerana masih lagi berada dalam perlindunganNya. Sesungguhnya sesuatu mudarat itu tidak akan terjadi kecuali dengan izin Allah.

Haikal betul-betul sakit hati kerana rancangannya tidak seperti yang dirancang. Dia memandu motosikal dengan kelajuan yang sangat tinggi untuk melepaskan geramnya. Memang benarlah kata pepatah ‘malang tidak berbau’. Haikal ditimpa kemalangan yang serius. Dia terus dikejarkan ke hospital berdekatan dan berita kemalangan tersebut disampaikan kepada keluarganya dan pihak sekolah. Berita tersebut sampai ke pengetahuan Cikgu Murni. Beliau terus memandu ke hospital tempat Haikal dirawat sambil berdoa supaya Haikal selamat. Haikal telah dibawa ke bilik bedah ekoran kecederaan serius di kepala. Doktor memberitahu Haikal kehilangan banyak darah dan kebetulan bekalan darah jenis O telah kehabisan. Atas dasar kasih sayang Cikgu Murni yang tidak bertepi terhadap pelajarnya itu, Cikgu Murni telah menawarkan diri untuk menderma darahnya. Setelah beberapa ujian dibuat dan Cikgu Murni didapati sesuai, proses pemindahan darah diteruskan. Cikgu Murni sempat berpesan supaya merahsiakan hal tersebut daripada pengetahuan Haikal. Alhamdulillah, Haikal berjaya diselamatkan dan selang beberapa minggu selepas itu, Haikal ke sekolah seperti biasa. Cikgu Murnilah orang yang paling gembira dengan perkembangan kesihatan Haikal yang semakin baik. Malang sekali, ternyata Haikal masih berdendam dengan Cikgu Murni. Cikgu Murni sangat bersedih dengan keadaan itu sehinggakan beliau sering menangis seorang diri mengenangkan pelajarnya itu. Cikgu Murni sering tertanya-tanya alasan mengapa pelajarnya itu begitu membencinya. Walaupun pelbagai usaha yang dilakukan untuk berbaik-baik dengan Haikal namun semua itu sia-sia sahaja.

Seorang rakan Haikal yang menyedari layanan Haikal terhadap Cikgu Murni akhirnya membocorkan rahsia akibat tidak tahan melihat perlakuan Haikal. Ketika Haikal tahu perkara yang sebenar, dia sangat terkejut sehinggakan tidak mampu untuk berkata-kata walau sepatah pun. Akibat malu dan rasa bersalah yang amat sangat, Haikal terus keluar dari sekolah dan tidak hadir selama hampir 3 minggu. Dia tidak sanggup untuk berdepan dengan Cikgu Murni, orang yang selama ini sangat dibencinya ternyata telah menyelamatkan nyawanya. Haikal betul-betul insaf dan dihantui rasa bersalah. Akhirnya Haikal mengambil keputusan untuk menemui Cikgu Murni dan meminta maaf kepadanya walau terpaksa berlutut sekalipun. Setelah sampai di sekolah, perkara pertama yang dilakukan Haikal adalah mencari Cikgu Murni di bilik guru. Haikal pelik apabila melihat ada seorang guru baru yang telah menggantikan tempat Cikgu Murni. Haikal bertanya kepada beberapa orang guru tentang Cikgu Murni dan Cikgu Liza, rakan baik Cikgu Murni memberitahu Haikal seminggu selepas Haikal lari dari sekolah Cikgu Murni telah jatuh sakit dan akhirnya menghembuskan nafas terakhir. Seperti telah dapat merasakan hal ini akan terjadi, Cikgu Murni telah mengamanahkan sepucuk surat kepada Haikal. Haikal membaca surat tersebut dengan penuh berhati-hati dan dengan linangan air mata. Surat tersebut berbunyi begini :

“Kehadapan Haikal yang cikgu sayangi….

Haikal, cikgu minta maaf sekiranya kehadiran cikgu selama ini telah menyusahkan Haikal. Niat cikgu hanya satu, supaya Haikal mendapat didikan yang terbaik dan menjadi orang yang berguna. Ketahuilah Haikal, sesungguhnya ajal maut itu di tangan Allah. Kita tidak akan dapat mengagak bila kita akan pergi menghadap Illahi. Janganlah Haikal bersedih dengan pemergian cikgu. Kenanglah cikgu dalam doa Haikal. Cikgu tahu, jauh di sudut hati, Haikal sebenarnya seorang yang baik. Kalau boleh cikgu nak minta sesuatu dari Haikal. Haikal belajar bersungguh-sungguh dan berjaya dengan cemerlang dalam SPM nanti.

Haikal jangan risau cikgu dah maafkan Haikal dan halalkan semua ilmu yang cikgu pernah kongsi dengan Haikal. Akhir sekali, Haikal berusahalah dekatkan diri pada Allah dan mohon kepadanya agar diberi petunjuk dan hidayah. Semoga kita sama-sama dirahmati Allah. Amin….

Cikgu Murni

Pada ketika itu, linangan air mata Haikal sudah tidak dapat dibendung lagi. Haikal dalam penyesalan yang amat sangat. Dia berharap sekiranya masa dapat diundur kembali, dia tidak akan pernah sesekali menyakiti perasaan Cikgu Murni tetapi itu semua perkara yang mustahil. Sejak dari itu Haikal telah berubah sikap menjadi seorang yang rajin berusaha dan sentiasa menolong orang lain. Dia juga sentiasa ke masjid untuk solat berjemaah dan mendengar ceramah. Pada suatu malam setelah selesai menunaikan solat Isyak di masjid berdekatan rumahnya, Haikal membaca al-Quran surah Al-A’raf. Dalam ayat 34 Allah telah berfirman yang bermaksud :

……apabila telah datang ajal mereka, sekali-kali mereka tidak dapat menunda atau menyegerakannya walau sesaat pun.

Haikal menitiskan air mata keinsafan. Terasa diri begitu hina di hadapan Allah SWT. Dia bersyukur kerana diberi petunjuk dan diberi peluang ubtuk pulang ke pangkal jalan. Cikgu Murnilah yang bertanggungjawab merubahnya dengan hidayah daripada Allah. “Terima kasih cikgu. Haikal akan sentiasa mendoakan cikgu. Haikal sayang cikgu.” Haikal bermonolog sendirian.